KUALA LUMPUR – Doktor swasta yang pernah merawat Pegawai Kadet,
Zulfarhan Osman Zulkarnain didakwa pernah dua kali menawarkan surat
rujukan ke hospital dan bantuan ambulans tetapi enggan diterima oleh
pesakit.
Surat rujukan itu ditawarkan apabila penuntut Universiti Pertahanan
Nasional Malaysia itu datang kali pertama dan membuat rawatan cuci luka
kali kedua lima hari kemudian di klinik berkenaan.
Mangsa mendakwa beliau tidak ke hospital kerana menjaga reputasi sebagai
tentera dalam latihan, selain keadaan luka yang semakin pulih.
Sumber memaklumkan kepada MalaysiaGazette, kali pertama mangsa datang
untuk mendapatkan rawatan cuci luka diiringi oleh empat rakannya yang
mengaku dari Kem Tentera Port Dickson.
Mangsa yang berjalan sendiri ke klinik berkenaan mendakwa beliau terkena wap panas ketika menjalani latihan.
Allahyarham meminta doktor berkenaan mencuci lukannya bagi memudahkan pergerakan ke hospital.
“Allahyarham ke klinik untuk mencuci luka kerana mendakwa berlaku
letupan ketika menjalani latihan ketenteraan lima hari sebelum datang ke
klinik berkenaan,” kata sumber kepada MalaysiaGazette.
Mangsa memaklumkan sudah membuat rawatan susulan di Klinik Kesihatan
Port Dickson tetapi tidak ada rujukan hospital kerana protokol tentera.
Doktor di klinik berkenaan tidak ada prasangka buruk kerana mendapati
luka-luka pada badan mangsa menunjukkan telah dirawat sebelum ini.
Sumber berkata, doktor yang merawat Zulfarhan juga menawar untuk
menghubungi keluarganya tetapi ditegah pesakit atas alasan ibunya sedang
dirawat di hospital.
Beliau tidak mahu kesihatan ibunya terganggu nanti.
Doktor yang merawat Zulfarhan tidak mengesyaki apa-apa kerana
kenyataan-kenyataan yang diberikan oleh mangsa dan rakan-rakannya tidak
bercanggah.
Mangsa meminta doktor berkenaan mencuci luka-luka pada tubuhnya bagi memudahkan pergerakan ke hospital.
Sumber berkata, bil rawatan Zulfarhan di klinik berkenaan dibayar oleh kawan-kawannya. – MalaysiaGazette
EmoticonEmoticon